Tuesday, April 24, 2012

Fantasi pendidikan

Perangkap fantasi pendidikan
ULASAN TPM terperangkap dalam fantasi pendidikan rakyat Malaysia berasa bingung sekali lagi dengan kenyataan fantasi timbalan perdana menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat Malaysia memandang tinggi sistem pendidikan di negara kita.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata demikian selepas keputusan kaji selidik baru-baru ini oleh Introspek Asia, yang kononnya menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia dewasa percaya bahawa sistem pendidikan di negara kita setanding negara-negara lain, manakala 35 peratus mengatakan bahawa ia adalah "lebih baik berbanding negara-negara maju".

Sebelum ini, Muhyiddin telah memilih untuk memetik sebahagian daripada Laporan 2011-2012 Global Competitiveness Index oleh World Economic Forum, dan menggunakannya untuk membuktikan bahawa kualiti pendidikan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Amerika Syarikat, German dan United Kingdom.

Jika ini benar, beliau harus menjawab kenapa tidak pernah ada seorang pun pemenang Anugerah Nobel dari Malaysia dan kenapa tiada satu pun universiti Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 200 universiti yang terbaik di dunia?

Atau kenapa, jika diberi pilihan, lebih banyak pelajar Malaysia memilih untuk belajar di Amerika Syarikat, UK dan Jerman dan bukan di universiti tempatan?

Sekali lagi, Muhyiddin sekadar selektif dalam memilih statistik yang menyokong pandangannya. Sebagai contoh, dalam laporan WEF, beliau telah memilih penunjuk yang mencerminkan kaji selidik ke atas 87 "eksekutif perniagaan utama" -- satu sampel golongan yang lebih besar kemungkinannya merupakan golongan kaya yang duduk di bandar dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah awam yang terbaik jika tidak ke sekolah-sekolah swasta.

Oleh itu, adalah tidak mengejutkan sekiranya mereka memandang tinggi sistem pendidikan tempatan.

Jauh dari gambaran cantik
Hakikat sebenarnya, realiti sistem pendidikan kita adalah jauh daripada gambaran cantik Muhyiddin.

Daripada laporan WEF yang sama, kedudukan kemasukan pendidikan menengah kita berada di tangga ke-101, lantas menunjukkan bahawa terdapat ramai pelajar yang tercicir selepas sekolah rendah dan oleh itu tidak dapat memperolehi pengajian tinggi.

Kedudukan kita di tangga ke-101 ini meletakkan negara kita di bawah Thailand (94), Indonesia (91), Brunei (35) dan Singapura (17) di rantau ASEAN.

Perkembangan membimbangkan ini juga dicerminkan dalam Legatum Prosperity Index yang menunjukkan bahawa kadar kemasukan pendidikan menengah hanya 68 peratus, dan meletakkan negara kita di tangga ke-81 di dunia.

Sementara itu, kadar kemasukan pendidikan tinggi pula adalah 36 peratus ataupun tangga ke-59 di dunia, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara OECD yang mempunyai kadar purata melebihi 50 peratus.
Prestasi Malaysia dalam kriteria objektif seperti kadar kemasukan pendidikan rendah, menengah dan tinggi seharusnya lebih ditekankan berbanding dengan penunjuk pendapat seperti kualiti pendidikan.

Oleh itu, tindakan untuk menguar-uarkan penunjuk-penunjuk subjektif dan mengabaikan penunjuk-penunjuk objektif adalah tidak bertanggungjawab dan mengalihkan perhatian daripada masalah-masalah dalam sistem pendidikan, termasuk kadar keciciran yang tinggi dan kadar kemasukan yang rendah di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.

Data selektif
Statistik-statistik antarabangsa yang lain juga meletakkan sistem pendidikan di Malaysia di tahap yang rendah. Sebagai contoh, dalam Program for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang melibatkan 75 negara, Malaysia menduduki tangga ke-55 dalam keupayaan membaca, 57 dalam keupayaan Matematik dan 52 dalam Sains.

Prestasi kita dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) juga menunjukkan kemerosotan secara berterusan sejak 1999 hingga 2007.

Data dan statistik daripada laporan-laporan antarabangsa yang berprestij telah menunjukkan bahawa terdapat krisis dalam sistem pendidikan Malaysia.

Malah, rakyat Malaysia sebenarnya tidak memerlukan laporan untuk mengetahui bahawa terdapat masalah yang ketara dalam sistem pendidikan kita yang menghasilkan graduan-graduan yang tidak layak untuk mendapat kerja dan tidak mampu untuk berfikir secara kritikal.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi?

Malangnya, daripada mengakui kelemahan dan mencari penyelesaian, menteri pelajaran kita lebih suka menafikan dan mencuba untuk memperdayakan rakyat Malaysia dengan data selektif dan subjektif untuk mengaburkan kebenaran keadaan pendidikan Malaysia.

Dengan berkeras menegaskan secara berterusan bahawa sistem pendidikan kita lebih baik berbanding negara-negara maju, Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja menunjukkan sindrom penafiannya tetapi juga terperangkap dalam alam fantasi serta menimbulkan keraguan tentang kecekapannya.


NONELIM GUAN ENG setiausaha agung DAP dan anggota parlimen Bagan. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.