Thursday, March 19, 2009

Guru Ditindas...Rintihan...

PPSMI: Rintihan seorang guru..
Guru Ditindas PPSMI
Mon | Mar 16, 09 | 12:57:13 am MYT
Image
Begitu tersentuh apabila Dinsman mengutarakan artikelnya yang bertajuk "Menunggu guru bersama budayawan bantah PPSMI". Aku bukanlah seorang guru bahasa yang boleh mengetik susunan dan laras bahasa yang sesuai.

Aku hanya guru biasa yang berada jauh di ceruk mata masyarakat. Memang aku, mewakili sebahagian guru yang hanya mampu menahan amarah, bila mana kelihatan "bacul" menunggu orang lain melontarkan masalah kami untuk diselesaikan.

Mengapa "bacul" lebih sesuai untuk kami. Secara praktikalnya, kami guru-guru Malaysia telah lama dan mungkin akan selama-lamanya dimomokkan oleh penguasa yang sedia ada. Macam-macam ancaman dan pekeliling telah membelenggu kami.

Tidak cukup dibelenggu dengan segala macam momokan, bebanan tugas dari masa kesemasa disuap sehingga tersengkak tak terkuasa untuk digalas. Bagaikan guru ini adalah "super power" yang boleh menyelesaikan kesemua permasalan dunia ini. Masyarakat tidak mempunyai nilai, lalu matapelajaran Sivik dan Kenegaraan diperkenalkan.

Bila kuantiti moral masyarakat merudum maka ada ura-ura untuk mewajibkan semua pelajar mempelajari Pendidikan Moral. Apabila berlaku kes penculikan kanak-kanak maka akan diperkenalkan pula sistem pembelajaran sehingga jam empat petang.

Guru-guru terseksa
Tidak tahukah mereka bahawa guru-guru sekarang ini membawa buku-buku anak murid untuk diperiksa di rumah. Tidak tahukah mereka bahawa guru-guru sekarang ini balik ke rumah pada jam dua petang dan kembali semula ke sekolah untuk aktiviti ko-kurikulum, tuisyen dalaman yang tidak berbayar, menceriakan sekolah, membuat laporan itu dan ini untuk pentadbiran dan jabatan, menjaga pelajar selama 24 jam sebagai warden yang melayan kerenah 300 ke 500 pelajar (ibu bapa sendiri pun tak bersama 24 jam),dan macam-macam kerja lagi yang kalau diperincikan maka akan terpacul masyarakat berkata kami ini terlalu berkira.

Sudah menjadi satu macam sumpahan kepada kami, bahawa penguasa bila-bila masa boleh mencabut rezeki kami. Takut benar kami bila mendengar Ulu Tembeling, Lembah Danum dan segala macam tempat yang tidak pernah terlintas dalam pendengaran kami. Kami telah begitu lama diancam sebegini.

Pantang mendengar sedikit sahaja berita bahawa kami tidak sesekutu dengan pentadbiran maka macam-macamlah di buatnya. Pentadbir yang dilantik untuk menjilat ludah penguasa, menjadi mata dan telinga walau penjilat-penjilat ini pekak dan buta, dengan rakus menunggu masa untuk menghukum sesiapa sahaja.

Surat tunjuk sebab, dipindahkan 24 jam, diburu seperti pesalah, sehinggakan sudah mengandung lapan bulan pun gambar diambil kerana duduk semasa mengajar dan dipaparkan dalam mesyuarat atau perkembangan staf. Bertambah teruk lagi kesalahan tersebut diulang tayang walaupun anak yang dikandung telah berusia dua tahun. Hendak bersuara secara lantang pun kami terpaksa berfikir-fikir.

Hubungan masyarakat pun kian meruncing!
Sudahlah di sekolah begitu, berada dalam masyarakat pun apa kurangnya, pantang kita duduk bermuzakarah isu semasa yang menjentik batang hidung penguasa, maka berdedailah maklumat sampai ke sekolah, jabatan dan malahan ke kementerian. Mengatakan diri kami ini tidak sedar diuntung.

Sudah diberi gaji mahu memberontak pula. Mengharapkan kesatuan-kesatuan guru mereka samalah seperti kami, terpaksa berteluku lutut di bawah telunjuk penguasa, cakap lebih-lebih nanti tindakan akan menjelma.

Kami bukan macam doktor, yang boleh meletak jawatan kerana diarahkan ke kawasan pendalaman, lalu dipujuk semula dengan macam-macam insentif. Itu belum dikira para doktor yang membuat locum (bayaran puluhan hingga ratusan ringgit sejam) dan memiliki klinik persendirian.

"Kalau Makcik nak sihat lagi bolehlah datang ke klinik nie ye makcik". Lalu menghulurkan sekeping kad nama. Terpukul betul bila mendengar kata-kata tersebut. Kami guru-guru, nak buat tuisyen kat rumah dengan untung RM20 untuk satu sesi pun dihalang bagai nak rak. Yang dengki sangat pada kami ni apasal?

Akhirnya kami memencilkan diri sehingga kami boleh diinjak-injak tanpa rasa hormat. Menjadi "bacul" bertaraf profersional. Bagi kami, yang seperti sudah putus harap ini, biarlah orang lain melaungkan perasaan kami ini. Laungkanlah supaya si Dr tua itu dengar akan keperitan masyarakat.

Kalaulah penguasa itu hendak meneruskan PPSMI biarkan dia, kami tetap akan mengajar dalam Bahasa Melayu. Kami berlapang dada menjemput penguasa itu datang mencemar duli untuk datang ke sekolah pinggir bandar dan lihat sendiri kebanggaan yang diwar-warkan peratusan Lulus Peperiksaan Awam bagi matematik dan sains meningkat.

Guru-guru dah lama lawan PPSMI
Sebenarnya kami sudah lama menentang PPSMI semenjak awal lagi, tapi dengan cara kami. Terima kasih kepada GMP dan seluruh rakyat yang masih mengasihani nasib anak-anak bangsa kita.

GURU MALAYSIA

Kami guru Malaysia,
Berikrar & berjanji,
Membimbing & mendidik,
Putera puteri negara kita,

Pada Seri Paduka,
Kami tumpahkan setia,
Rukun Negara kita,
Panduan hidup kami semua,

Di bidang pembangunan,
Kami tetap bersama,
Membantu, membina,
Negara yang tercinta,

Amanah yang diberi,
Kami tak persiakan,
Apa yang kami janji,
Tunai tetap kami tunaikan.

Kepada Duli Tuanku, Kami dari dulu lama lagi, telah berjanji akan sentiasa setia kepada Tuanku. Dengarlah rintihan kami.

No comments:

Post a Comment