Friday, June 19, 2009

Shukery Suami, Ayah Penyayang

http://www.murai.com.my
12-Jun-2009
| Oleh: Ellyna Ali

Allahyarham Shukery Suami, Ayah Penyayang


Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 12 JUN 2009: Sudah 3 hari, pelakon Shukery Hashim, 55, meninggalkan kita semua. Namun, pemergian arwah masih lagi dirasai seluruh keluarganya teruama isterinya, Faridah Mat Desa, 51.

"Selama 30 tahun hidup bersama arwah, saya benar-benar sangat gembira dan bahagia kerana arwah seorang suami dan ayah yang cukup penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.

"Sebelum dia pergi, dia sudah bereskan segala bayaran rumah dan hutang piutang yang lain. Malah, dia turut meninggalkan wang EPF dia untuk saya. Wang EPF itu diperolehi sewaktu dia bekerja di Filem Negara Malaysia dulu.

"Katanya, kalau dia pergi, dia tidak mahu saya rasa susah. Dia mahu saya sentiasa hidup senang setelah ketiadaannya nanti," katanya Faridah atau mesra dikenali sebagai Kak Nen kepada murai.com.my.

Menurut Faridah lagi, ketika hayatnya, arwah memang seorang yang sentiasa beringat tentang masa depannya.

"Berkat usaha dan kerja kerasnya berlakon di sana sini, dia dapat menyimpan untuk membeli rumah, memberikan pendidikan anak-anak serta mengerjakan haji dengan membawa saya bersamanya. Dia juga seorang suami yang gemar melawak tetapi pada waktu yang sama suka mengambil berat tentang soal-soal agama. Di dalam bilik tidur, dia telah membina tempat wuduknya sendiri.

"Malah, awal tahun ini, dia telah membina loteng yang dijadikan surau kecilnya di ruang atas balkoni rumah kami . Di situ dia turut membina tempat wuduknya.

"Walaupun agak tinggi untuk menaiki tangga loteng surau itu, tapi dia masih boleh melakukannya sebelum dia sakit dan sebelum doktor mengesahkan dia menghidap barah pankreas,” katanya sewaktu ditemui di kediamannya di Taman Fairuzah, Ampang Campuran.

Jelas Faridah lagi, walaupun sibuk macam mana, namun arwah masih sempat meluangkan masa untuk membawa keluarga berjalan-jalan.

"Dia juga lebih suka pulang ke rumah kalau setiap kali mempunyai shooting di sekitar Kuala Lumpur. Apabila pulang ke rumah, dia selalu bersantai di ruang balkoni yang memang jadi kegemarannya. Selalunya juga dia minta saya temankan dia sambil berbual-bual. Adakalnya dia lebih suka tidur di ruang balkoni tersebut," katanya.

Dapat mimpi arwah meninggal dunia

Sambung Faridah lagi, dia sungguh tidak menyangka begitu cepat arwah meninggalkannya sekeluarga bersama anak-anak.

"Jangkaan doktor, dia dapat hidup lebih kurang setahun atau 6 bulan lagi. Tapi, dia pergi lebih cepat daripada itu. Namun saya reda dengan pemergiannya. Allah telah permudahkan pemergiannya.

"Namun, sebelum dia dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu, saya telah pun mendapat mimpi yang dia akan pergi tinggalkan saya. Dalam mimpi itu dia melambai-lambai pada saya.

"Saya agak terkejut juga bila mendapat mimpi itu, tapi saya diamkan saya. Sepanjang dimasukkan ke hospital, saya sempat menyediakan mihun goreng untuknya pada Ahad lalu. Dia yang minta saya buatkan mihun goreng itu.

"Arwah juga sempat menyiapkan semua drama lakonannya sebelum dia mendapat ratawan di hospital. Yang terakhir adalah drama Cinta Untuk Ain dan Cinta Gila," katanya.

Hasil perkahwinannya bersama Faridah, arwah telah dikurniakan 5 orang anak iaitu Nurshikin, 28; Nur Izaty, 27; Mohd Firdza, 25; Mohd Aidil 21; Mohd Amirul, 14, serta 3 cucu iaitu Nur Hanis Balqis, 2; Nur Arisa Sofia, 3 bulan dan Nur Umairah Syifa, 2 bulan.

Anak kedua arwah, Izaty pula menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang cukup penyayang dan tidak pernah mengabaikan anak-anak.

"Ayah cukup mengambil berat tentang masalah kami sebagai anak-anak dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk kami. Dia juga selalu bawa kami jalan-jalan dan sampai sekarang pun dia masih rajin membawa cucu-cucunya keluar.

"Dengan ibu, mereka memang pasangan yang cukup loving. Mereka selalu habiskan masa bersama-sama dan kalau ke mana-mana juga mesti bersama. Kami tak pernah melihat arwah sebagai seorang pelakon tetapi lebih kepada seorang ayah yang cukup sayangkan keluarga serta anak-anak," katanya.

Jenazah arwah telah dikebumi di Tanah Perkuburan Islam di Keramat, Rabu lalu, sekitar jam 6 petang. Ramai rakan artis, produser drama serta filem yang hadir seperti Datuk Yusof Haslam, U-Wei, Raja Azmi Raja Sulaiman, Eman Manan, Rosyam Nor serta Den Wahab. Al Fatihah, Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

No comments:

Post a Comment