Friday, August 14, 2009

"Polis dan Hak Anda"


Risalah Merah? Tangkap!

Puspawati Rosman | Aug 12, 2009 12:39:51 pm

Sebagai Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) Kuala Lumpur, saya bertanggungjawab mengetuai mana-mana projek, program serta aktiviti kesedaran undang-undang yang dianjurkan oleh PBG Kuala Lumpur di bawah Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang. Antaranya adalah penghasilan dan pengedaran risalah-risalah yang mengandungi maklumat dan pendidikan untuk orang ramai supaya mereka sedar akan hak mereka dari segi undang-undang.

Risalah-risalah berwarna-warni yang banyak itu disusun dengan kemas di sebuah rak di depan pintu masuk pejabat PBG di tingkat 9 Wisma Kraftangan, bersebelahan Masjid Jamek. Adakalanya, kami (peguam-peguam sukarela PBG) akan mengedarkan risalah-risalah tersebut apabila kami menghadiri program-program luar seperti di sekolah, kolej, pasar malam, bahkan di tepi jalan pun akan kami edarkan apabila ada kesempatan.

Ditahan kerana mengedar risalah

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya, bahawa suatu hari nanti saya akan ditahan dan digari di hadapan orang ramai kerana mengedarkan risalah-risalah PBG tersebut.

Semata-mata kerana ia berwarna merah.

Dan, semata-mata kerana ia diedarkan pada 1 Ogos 2009.

Pada hari bersejarah rakyat Malaysia itu, kami, peguam-peguam sukarela sudah berada di pejabat PBG seawal pukul tujuh pagi. Kami datang awal sebagai persediaan, kerana berdasarkan amaran yang diberikan oleh polis dan pihak berkuasa beberapa hari sebelum itu, kami sudah menjangka bahawa akan ramai orang ditangkap pada hari itu kerana menyertai atau cuba untuk menyertai perhimpunan besar-besaran Mansuhkan ISA.

Tekaan kami tepat, pada kira-kira pukul 10 pagi, kami mula menerima panggilan-panggilan daripada orang ramai, memaklumkan kepada kami bahawa operasi tangkapan sudah bermula di sekitar Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, kami mula memaklumkan kepada peguam-peguam sukarela yang sudah bersedia di sekitar Kuala Lumpur untuk pergi ke balai-balai polis yang berkenaan. Di samping itu, beberapa orang daripada kami telah diminta bersedia di pejabat PBG untuk memberikan nasihat guaman melalui telefon kepada orang-orang yang ditangkap dan berjaya menghubungi kami, termasuk saya.

Walau bagaimanapun, selepas satu jam, kami mula gelisah kerana di bawah pejabat kami, orang ramai sudah mula ditangkap secara rawak oleh berpuluh-puluh polis yang menjadikan Masjid Jamek sebagai 'stesen' mereka dengan kehadiran beberapa buah 'black maria' dan trak kecil polis. Justeru itu, kami mengambil keputusan untuk terus mengedarkan risalah 'Polis dan Hak Anda' kepada orang ramai secara langsung, supaya sekiranya mereka gagal mendapatkan akses kepada peguam apabila ditangkap, sekurang-kurangnya mereka akan tahu apa yang harus dilakukan.

Buku dirasmikan menteri

Risalah "Polis dan Hak Anda" itu sebenarnya adalah "Buku Merah" versi risalah yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam. Tiga tahun yang lalu, Majlis Peguam telah menerbitkan sebuah "Buku Merah" yang mengandungi hak-hak dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh seseorang sekiranya ditangkap oleh polis. Ironinya, majlis pelancaran "Buku Merah" itu dirasmikan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Nazri Aziz. Disebabkan kekurangan dana untuk mengulang-cetak 'Buku Merah' tersebut, Majlis Peguam telah meringkaskan isi kandungannya dan menerbitkannya dalam bentuk risalah kerana ia lebih murah. Disebabkan itu, risalah itu berwarna merah.

Ketika saya mengedarkan risalah di hadapan bangunan HSBC di Jalan Melayu, tiba-tiba datang beberapa orang polis meluru ke arah saya dan tanpa memberi salam, salah seorang anggota polis itu bertanya apa yang saya sedang lakukan. Saya cuba memberikan penjelasan kepada mereka sambil menunjukkan tag 'Peguam' yang saya pakai. Akan tetapi, nampaknya mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan saya dan meminta saya mengikut mereka berjumpa pegawai di balai polis. Saya enggan.

Cuba malukan saya

Seseorang yang ditahan oleh polis tidak mempunyai kewajipan untuk mengikut polis itu ke mana-mana sekiranya beliau tidak ditangkap. Maka itulah yang saya lakukan. Setelah melihat keengganan saya, polis-polis tersebut mula berkasar dan mengugut untuk menangkap saya. Maka saya pun bertanya soalan wajib "Kalau nak tangkap, tangkaplah, tapi sekarang adakah saya ditahan?"

Polis-polis di keliling saya tidak menjawab. Pada waktu itu, saya yakin bahawa mereka sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Tiba-tiba, datang seorang polis pertengahan umur yang terus memekik "Tangkap dia! Gari!" Yang paling menyakitkan hati, mereka sempat memalukan saya dengan menyuruh beberapa orang polis berpakaian biasa mengambil gambar saya yang telah digari.

10 Minit ditahan

Puspawati Rosman, Merdeka Review

Saya dibawa masuk ke sebuah trak yang diletakkan di hadapan Masjid Jamek. Sepanjang perjalanan ke trak tersebut, saya tidak diberi sebab tangkapan oleh polis-polis tersebut. Nampak sangat mereka ini sebenarnya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan, tetapi hanya sekadar mengikut arahan dari langit (orang atas).

Beberapa orang peguam sukarela yang berada di tempat kejadian cuba berdiplomasi dengan polis, diketuai oleh Saha. Saya yang tidak berpuas hati dengan penangkapan, mula membuat bising di dalam trak.

Di dalam trak tersebut, terdapat dua orang lagi tahanan perempuan. Tahanan lelaki ada lebih kurang 10 orang. Mereka hanya diam melihat "drama" yang berlaku di antara saya dan polis-polis di hadapan trak. Saya sempat berpaling ke arah mereka dan berkata, "Sekejap lagi saya berikan nasihat guaman".

Saya meminta supaya gari saya ditanggalkan, kerana pergelangan tangan saya rasa sakit. Tapi permintaan saya tidak diendahkan. Lalu, saya cuba leraikan sendiri dan mungkin kerana saiz pergelangan tangan saya yang kecil, percubaan saya berjaya.

Mempersoalkan kebiadapan polis

Saya mula mempersoalkan cara tangkapan dan sikap polis-polis yang kurang ajar itu. Mereka cuba mempertahankan tindakan mereka tapi saya tahu yang mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka itu tidak berasas. Saha mula menjelaskan sekali lagi isi kandungan risalah merah. Pada waktu ini, barulah salah seorang anggota polis itu membuka risalah tersebut dan membacanya.

Ketika itu, saya mula sedar bahawa kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh polis adalah tanpa usul periksa. Contohnya ketika penangkapan saya, polis-polis tersebut tidak mengendahkan penjelasan saya dan tidak cuba membaca risalah tersebut. Hanya selepas tangkapan dibuat dan selepas didesak oleh Saha, mereka mula membacanya.

Saya telah dibebaskan daripada tahanan kira-kira 10 minit selepas itu.

Perhimpunan 2R : Double Standard

Jangka waktu yang singkat itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diriku. Rasa sakit hati dengan cara pihak polis menangani hari perhimpunan tersebut yang sangat mengecewakan. Apa sudah jadi dengan hak berhimpun secara aman yang kononnya dilindungi di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan?

Kira-kira seminggu sebelum kejadian, sebenarnya terdapat satu lagi perhimpunan besar-besaran yang diadakan di tempat yang sama. Perhimpunan itu dinamakan 2R (kempen Ragut dan Rogol) yang dianjurkan oleh kerajaan. Jalan-jalan ditutup seawal jam 8 pagi. Beribu-ribu peserta meniup wisel dan melintasi jalan raya dengan baju merah jambu dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dari empat arah bertentangan menuju ke Dataran Merdeka.

Saya tidak kisah dengan tujuan dan matlamat perhimpunan itu. Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, sekiranya pihak polis berjaya mengawal dengan baik perhimpunan 2R tersebut, mengapa tidak lakukan perkara yang sama untuk perhimpunan Mansuhkan ISA? Kerana ia bukan dianjurkan oleh kerajaan persekutuankah? Mengapa perlu ada "double standard" dalam menangani isu keselamatan dan keamanan orang awam? Dan, apabila kami sebagai peguam sukarela cuba menghulurkan bantuan guaman akibat kerja-kerja polis yang tidak mengikut prosedur, kami juga ditahan?

Bayangkan, segala-gala yang tertulis di atas adalah luahan hati saya yang hanya ditahan selama 10 minit.

101 kisah semasa ditahan

Bayangkan, orang-orang yang ditahan sehari semalam di dalam lokap tanpa mengetahui hak-hak mereka, dan ada yang dipukul.

Bayangkan, 11 orang anak guam wanita kami yang ditangkap pada waktu tengahari dan tidak diberi makan sehingga pukul 11 malam, mengadu sakit kepala dan berpenyakit asma, tidak diberikan ubat yang diminta walaupun peguam sudah membelikan dan memberikannya kepada polis bertugas. Mereka juga diherdik dan dicaci oleh polis-polis yang memanggil mereka bodoh, dungu dan sebagainya.

Bayangkan, tiga orang kanak-kanak berusia 13, 16 dan 17 tahun yang ditangkap pada siang hari, tidur di dalam lokap, disuruh pakai baju lokap, dan tidak diberi makan sehinggalah mereka diberi akses untuk berjumpa dengan peguam pada pukul 10 malam dan makanan dibelikan oleh peguam-peguam mereka. Yang lebih mengejutkan, ibubapa mereka dan pegawai dari Jabatan Kebajikan tidak dimaklumkan mengenai penangkapan mereka sehingga berlaku kekecohan apabila seorang bapa panik selepas beliau diberitahu anaknya sudah tidak lagi berada di dalam balai polis, tetapi dibawa ke "tempat lain".

Akhirnya bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan polis atas "kehilangan" anaknya, dan selepas melihat bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan, barulah polis-polis bertugas bersungguh-sungguh membantu lelaki itu mencari anaknya. Rupa-rupanya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke balai polis yang lain.

Bayangkan, seorang wanita berusia hampir 50 tahun yang mengidap sakit jantung tidak dibenarkan dibawa ke hospital, tetapi polis berkeras untuk mereman wanita tersebut bagi "siasatan lanjut". Beliau juga tidak diberikan ubat yang sepatutnya diberikan.

Sekarang, berhentilah bayang-membayangkan ini. Anda sebenarnya boleh mengalaminya sendiri, kerana realitinya di Malaysia, tidak ada yang mustahil. (Bahagian kedua, tamat)

*Puspawati Rosman ialah Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) yang ditangkap pada 1 Ogos 2009.

No comments:

Post a Comment