Kartunis Utusan, rogol dan zina
Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah.
Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.
Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?
Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?
Rogol
Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi.
Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah.
Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri.
Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?
Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:
“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu.
Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta.
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).
Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.
Lian
Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi.
Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.
Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.
Justeru Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar;
Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta;
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).
Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini.
Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.
Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono.
Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.
No comments:
Post a Comment