Wednesday, September 28, 2011

Hudud yang baik berjaya diburukkan

Hudud yang baik berjaya diburukkan
Wan Ji Wan Hussin
Sep 27, 11
10:51am
Dalam demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar tertakluk kepada suara majoriti. Tanpa sokongan ramai, ia melahirkan penolakan. Hasilnya, kejayaan yang diimpi, tetapi kegagalan menjadi realiti.

Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang baik sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu, impian yang baik hendaklah kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

NONEOleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar Abdul Aziz yang tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk pemerintahan.

Apabila Abdul Malik, anak kesayangannya bertanya tentang hal itu, beliau menjawab:

"Jangan kamu gopoh wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga.

"Sesungguhnya aku bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah".

Umar menjawab sebegitu kerana mementingkan kejayaan perlaksanaan Islam yang bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai sesuatu impian sahaja.

Umar berfikir lebih dari itu, iaitu bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.

Perlaksanaan dalam syubhat

Dalam sejarah Islam, diceritakan Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan - salah satu hukum hudud yang termaktub dalam al-Quran.

Ia ditangguhkan kerana ketika itu tertimpa tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.

Melaksanakan hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah keadilan. Tetapi, memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong tangan pencuri itu merupakan kezaliman.

azlanEkoran itu, Saidina Umar menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.

Di Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melontarkan idea ini. Dan ia diteruskan ketika PAS membentuk kerajaan di Terengganu dahulu.

Namun, kelemahannya dari sudut penerangan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi, propaganda Umno/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya diburukkan oleh Umno/BN.

Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam pilihan raya umum selepas itu.

Dilema tidak memahami kebaikan hudud, melahirkan masalah yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika majoriti rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan yang amat bahaya.

Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk oleh masyarakat. Walhal, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Padang demokrasi


PAS berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki mutlak. Ia melibatkan suara majoriti rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan hudud diterima dan terus diamalkan.

azlanTidak ada faedahnya hudud hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka lima tahun sahaja, tetapi selepas itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut.

Tetapi yang paling baik, hudud dilengahkan selama lima tahun, tetapi selepas lima tahun hudud itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.

Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (dicadangkan sasaran selama lima tahun sahaja) seperti berikut:

Pertama:
Menggerakkan usaha memahamkan hudud secara lebih berkesan. Ia tidak sekadar berlingkar di Kelantan sahaja, tetapi hendaklah meliputi seluruh Malaysia.

Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar, wacana dan sebaran risalah. PAS dan kerajaan PAS wajib mengambil peranan ini.

Kedua:
Mewujudkan NGO yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud. Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk yang berhikmah.

Mereka yang terlibat dalam NGO ini, hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.

Ketiga:
Dianjurkan Seminar dan wacana yang berkaitan dengan hudud, dengan tidak boleh diabaikan wakil-wakil parti selain PAS. Jika PAS bentang kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR mengulas kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Nik Aziz atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang, maka Karpal Singh atau Lim Guan Eng pula yang mengulasnya.

Himpunan suara rakyat

dap kit siang karpal and guan engSebelum kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi. Apabila rakyat secara majoriti mahukan hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat.

Ini kerana, parti mereka juga parti yang mendokong demokrasi, sesuai dengan namanya Democtratic Action Party.

Selagi kefahaman rakyat tidak diusahakan secara menyeluruh, dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling bimbang, sebaliknya melahirkan kegagalan dan dibimbangi dilihat buruk oleh rakyat.

Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan yang merupakan mudarat lebih besar.

Hanya berfikir untuk mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: "Gopoh itu sebahagian dari Syaitan".

azlanKaedah fekah ada menyebut: "Barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya".

Jadi, dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk melaksanakan hudud.

Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding keputusan Allah, tetapi bertujuan mencapai kejayaan perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan pemburukan pada hukum Allah SWT itu.


Penulis merupakan pendakwah bebas yang cencerung kepada pemikiran Imam As-Syatibi dan memfokuskan kajiannya dalam bidang Maqasid Syariah.

No comments:

Post a Comment