Suka Duka Misi Menyelamat Di Kepulauan Mentawai
PENGALAMAN menunggu selama lima hari oleh rombongan bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia (misi kedua) untuk tiba di Kepulauan Mentawai, Indonesia yang dilanda tsunami pada 25 Oktober lalu merupakan detik yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh para sukarelawan Malaysia.
Gempa bumi yang direkodkan pada skala Ritcher 7.7 sudah cukup untuk melakukan kemusnahan yang tidak terimaginasikan oleh sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kepada kita rakyat Malaysia yang tidak pernah ada pengalaman melalui detik-detik cemas seperti mana yang telah dirasai oleh rakyat negara jiran kita, Indonesia.
Difahamkan 400 mangsa dari 150 perkampungan hilang dalam kejadian gempa bumi selama 10 minit pada hari kejadian.
Bagi mereka yang lemah semangat, langkah paling mudah ialah berpatah balik lebih-lebih lagi, kehadiran para sukarelawan kita seolah-olah terasa seperti tidak dihargai.
Apatah lagi setelah berdepan dengan pelbagai halangan mereka perlu terlebih dahulu berdepan dengan masalah termasuklah menunggu sehingga lima hari sebelum dapat tiba di kepulauan berkenaan.
Namun para sukarelawan Malaysia tekad meneruskan langkah pertama yang mereka lakukan ketika meninggalkan tanah air dalam misi tersebut.
Segala aral melintang dijadikan pembakar semangat seorang doktor sukarelawan, Profesor Madya Dr Mohammad Iqbal Omar atau Ye Htut.
Beliau bersama seorang pembantu perubatan, Chee Fook Wah dan empat anggota perubatan menyertai rombongan kemanusiaan itu di bawah naungan Mercy Malaysia dari 31 Oktober lalu sehingga 7 November.
Perjalanan mereka bermula apabila tiba di Padang beberapa hari lebih awal untuk membuat penilaian ke atas bantuan yang diperlukan.
Dari Padang, mereka perlu bertolak ke Kepulauan Mentawai iaitu tempat kejadian. Mereka yang hendak ke Kepulauan Mentawai harus menggunakan Pelabuhan Sikakap yang menghubungkan Padang ke Pulau Pagai.
Perjalanan bot ke situ memakan masa selama 12 jam jika laut bergelora atau satu setengah jam jika menggunakan helikopter.
AHAD (31 OKTOBER) - Hari Pertama:
Rombongan Mercy Malaysia sepatutnya menaiki kapal milik Port Authority Naval Sea kira-kira pukul 10 malam. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan orang asing menaikinya.
Ekoran itu, para sukarelawan Malaysia terpaksa berpatah balik ke hotel di Padang. Mereka mendapat tahu terdapat helikopter ke pulau berkenaan pada keesokan harinya.
ISNIN (1 NOVEMBER) - Hari Kedua:
Pada 6.30 pagi Isnin, mereka pergi ke hangar milik polis dan tentera dan menunggu selama hampir tiga jam. Sekali lagi, cuaca yang tidak menentu menghalang usaha mereka ke situ.
“Cuaca sukar diramalkan di sini. Hujan boleh turun dengan lebat untuk setengah jam dan kering setengah jam kemudiannya,” kata Dr Mohammad Iqbal.
Misi untuk ke Kepulauan Mentawai terkandas untuk kali yang keduanya.
SELASA (2 NOVEMBER) - Hari Ketiga:
Jelas beliau, perkhidmatan feri antara laluan Sikakap dan Padang memang disediakan, tetapi semua tempat duduk telahpun ditempah. Maklumlah ia adalah bot komersial yang lebih mementingkan keuntungan. “Kami kerap menerima mesej Mercy Malaysia misi pertama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memberitahu mereka memerlukan pertolongan kami,” katanya.
Sebelum kedatangan mereka, satu rombongan Mercy Malaysia misi pertama telah pun dihantar ke situ. Mereka terdiri daripada dua wakil Mercy Malaysia dan dibantu lima penuntut perubatan yang belajar di Indonesia.
RABU (3 NOVEMBER) - Hari Keempat:
Masa terus berlalu begitu sahaja. Pada Rabu, mereka dimaklumkan helikopter dibenarkan berlepas.
“Alangkah kecewanya saya apabila Gabenor serta pihak tentera secara diplomatiknya memberitahu kami, helikopter tidak mempunyai ruang untuk membawa penumpang,” katanya dengan nada kecewa.
Dr Mohammad Iqbal tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya kerana misi mereka adalah untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawan di pulau berkenaan tetapi mereka masih tidak dapat bertolak ke lokasi bencana alam walaupun telah menanti selama empat hari.
KHAMIS (4 NOVEMBER) - Hari Kelima:
Keesokannya, mereka pergi ke lapangan terbang persendirian Minangkabau (dan tunggu dari pagi hingga tengah hari).
“Pada lebih kurang jam 8 pagi, ramai orang kenamaan (VIP) yang tiba hadir. Mereka juga ingin bertolak ke Kepulauan Mentawai. Sekali lagi kami dihampakan kerana tiada ruang untuk kami.
“Kami tinggalkan hangar dan bergegas ke Pelabuhan Sikakap kerana kononnya ada kapal navigasi ke situ,” ujarnya.
Akhirnya rombongan Mercy Malaysia misi berjaya menaiki kapal tersebut pada jam 2.30 petang dan sampai di Kepulauan Mentawai menjelang 12.30 tengah malam.
Kapal tersebut dilabuhkan di lautan dan para penumpang perlu menggunakan bot laju mudah alih ke persisiran pantai.
Kerana kepekatan malam, mereka mengambil keputusan untuk memulakan misi apabila fajar menyingsing.
Kumpulan Mercy Malaysia misi kedua seterusnya bergabung dengan kumpulan Mercy misi pertama yang berpangkalankan sebuah bot sewa.
Ketika itu, tiga penuntut perubatan terpaksa pulang kerana perlu meneruskan pengajian mereka di universiti.
Ini bermakna tinggal lima sukarelawan dari misi pertama dan enam sukarelawan dari misi kedua meneruskan usaha Mercy Malaysia.
BOT ‘RUMAH’
Dr Mohammad Iqbal dan lain-lain sukarelawan menjadikan bot itu sebagai tempat penginapan pada waktu malam.
Bot tersebut disewa selama sepuluh hari untuk misi menghantar bantuan kemanusiaan.Di situlah mereka makan, tidur dan mandi.
Menurut beliau, bot tersebut yang disewa untuk tempoh 10 hari itu memiliki catuan makanan untuk 14 penumpang termasuk kru.
Katanya, semua penumpang makan sayur-sayuran, telur, ikan sardin, mi segera dan nasi semasa berada di atas kapal tersebut.
“Makanan mentah disimpan dalam peti sejuk. Kami minum air botol mineral. Dalam keadaan ‘darurat’ sedemikian, kami hanya mandi sekali dalam sehari. Itupun air hujan yang disimpan. Air hujan juga digunakan untuk membersihkan tandas selepas digunakan,” katanya.
JUMAAT (5 NOVEMBER) - Hari Keenam:
Destinasi pertama ialah Desa Maonai di Pulau Pagai di utara Kepulauan Mentawai. Ahli-ahli sukarelawan Malaysia memberikan rawatan perubatan kepada kira-kira 20 mangsa bencana alam dari 9 pagi hingga 2 petang. Kira-kira tujuh sukarelawan bekerja dalam setiap operasi.
“Kami diberitahu, apabila tsunami menghentam persisiran pantai, ia mengakibatkan lebih 300 orang Mindanao kehilangan tempat tinggal (atau Internally Displaced Person),” kata Dr Mohammad Iqbal.
Pelarian tersebut, kata Dr Mohammad Iqbal, rata-ratanya tidak tercedera ataupun mempunyai masalah serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar.
Tambahnya, kebanyakan mereka lebih memerlukan sokongan psikologi.
Mereka turut memantau sama ada berlaku pemerebakan wabak kerana faktor kebersihan.
SABTU (6 NOVEMBER) - Hari Ketujuh:
Rombongan Mercy Malaysia misi kedua tiba di Batu Monga pada 9 pagi. Oleh kerana sudah terdapat pegawai Indian Red Cross, maka mereka tidak menghabiskan masa terlalu lama di situ.
Mereka bertolak ke Batu Malai dan merupakan pasukan sukarelawan yang pertama tiba di situ tepat pada pukul 12 tengah hari.
Terdapat kira-kira 120 penduduk dari 45 keluarga menetap di situ. Semua rumah ranap kecuali satu bangunan tinggi. Majoriti penduduknya beragama Kristian.
Dr Mohammad Iqbal memberitahu, terdapat satu kematian dan dua kecederaan di perkampungan tersebut akibat tsunami.
“Salah seorang daripadanya mengalami jangkitan pada lutut. Kami juga melakukan beberapa pembedahan minor keatas kanak-kanak yang menghidap jangkitan pada kulit selain mengesan beberapa insiden pasca traumatik,” ceritanya.
Apa yang paling menyayatkan hati, katanya, ialah seorang wanita menitiskan air mata kegembiraan dengan kehadiran mereka.
“Dia merayu kami menyelamatkan suaminya yang mengalami kecederaan kepala dan dalam koma akibat tsunami tempoh hari. Kami melakukan apa yang terdaya dan menguruskan penghantarannya ke hospital,” katanya.
Lelaki tersebut difahamkan sedang mencari rotan bersama dua rakannya ketika tsunami melanda kepulauan itu. Seorang mati manakala seorang lagi cedera.
Dr Mohammad Iqbal dan rakan-rakannya membantu 53 pesakit dari 12 tengah hari hingga 4 petang.
Persinggahan mereka di situ tidaklah terlalu lama kerana laut bergelora pada lewat petang dan ini membahayakan keselamatan.
AHAD (7 NOVEMBER) - Hari Kelapan:
Destinasi terakhir ialah Pulau Sipora. Mereka melawat ke Desa Bosua yang dihuni kira-kira 420 keluarga di bahagian selatan pulau itu dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
Dr Mohammad Iqbal berkata, mereka berjaya merawat 55 pesakit dan menjalankan dua pembedahan kecil.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan perubatan tidak mengikuti rombongan sukarelawan Mercy ke Desa Kobi Bara untuk menghantar bantuan kemanusiaan.
“Ini kerana sudah ramai sukarelawan dari Persatuan Bulan Sabit Merah, pertubuhan bukan kerajaan dari Australia, dan South Surfer Aid ada di situ,” katanya.
Secara keseluruhannya, dari 31 Oktober hingga 7 November, Dr Mohammad Iqbal memberitahu, mereka melawat sembilan kampung, merawat 566 pesakit dan mewujudkan tujuh klinik. Tambahnya, Mercy turut membawa 100 helai selimut, 44 kotak mi segera (Indomie) dan 45 kotak botol air mineral untuk mangsa-mangsa.
“Kami pulang dengan bot sewa apabila genap sepuluh hari,” katanya.
Ditanya apakah pengalaman paling berharga sepanjang berada di situ, Dr Mohammad Iqbal tidak teragak-agak menyatakan ia adalah kasih sayang sesama manusia yang tidak mengenal sempadan.
Beliau bersedia untuk menyahut panggilan Mercy agar dapat menawarkan bantuan kepada sesiapa sahaja dan di mana jua.
No comments:
Post a Comment