Aktivis Bersih diseret ke mahkamah
malaysiakini kemaskini 2.46pm Jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat ditahan reman sehari oleh Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan bawah Akta Hasutan.
Beliau, yang juga Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), ditangkap selepas jam 8 malam tadi di rumahnya Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur.
Pensyarah kajian media di sebuah universiti tempatan itu kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan untuk soal siasat - kemudian dipindahkan ke suatu tempat yang tidak diketahui sejurus selepas tengah malam.
Pengarah jabatan itu Datuk Koh Hong Sun berkata Wong yang ditahan di bawah akta tersebut kerana menulis beberapa artikel termasuk kempen "1Black Malaysia", lapor Bernama malam tadi.
Tindakan polis itu dipercayai berkaitan dengan kempen berbaju hitam esok - yang dijalankan oleh Bersih - sebagai tanda membantah persidangan DUN Perak yang dianggap NGO itu "tidak mengikut perlembagaan."
Bersih melancarkan kempen itu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, pagi semalam.
Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.
Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.
Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.
Polis kelmarin melarang orang ramai berhimpun dekat Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan DUN, setelah penyokong Pakatan ingin tampil menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pilihan mereka.
Mat Sabu pula ditahan polis
Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang ini di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu di Manjoi, Ipoh esok.
Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.
Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.
Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.
Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.
Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.
Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.
Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.
Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.
Dihubungi hari ini, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.
Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment