Sasterawan
Negara Datuk A Samad Said menegaskan BERSIH turut memerlukan sokongan
parti politik, termasuk BN bagi merealisasikan lapan tuntutan untuk
mereformasikan sistem pilihan raya.
Katanya, tanpa dokongan parti
politik yang dipimpin oleh "kuasawan", gabungan tersebut tidak kuat
untuk memperjuangkan agendanya.
"Mereka
memperkuat, kalau BERSIH sahaja, tidak akan kuat. Kalau PAS, dokongan
itu tidak ada, BERSIH sahaja tidak kuat. Sebenarnya kita juga mengajak
BN menyertai (perjuangan BERSIH). Bukan salah kita.
"Kita
menjemput semua kuasawan, baik daripada PAS, BN, PKR. Baik daripada
Umno, MCA, MIC, tetapi mereka sendiri yang memisahkan diri untuk
menyertainya," katanya dalam wawancara
Malaysiakini
Tokoh
yang lebih kenali sebagai Pak Samad bagaimanapun berkata keengganan BN
menyokong hasrat gabungan itu kerana barangkali ia dirasakan akan
"menggigit" mereka.
Beliau menjawab soalan berhubung peranan
orang politik untuk menuntut lapan tuntutan BERSIH, sekalipun beliau
optimis mampu menarik sokongan pelbagai pihak bagi meneruskan tuntutan
mereka.
Katanya, BERSIH 2.0 mengambil alih kumpulan itu daripada
BERSIH pertama yang dipimpin "kuasawan" bagi mengelakkan tanggapan
organisasi itu dipergunakan untuk "berantakan dengan kuasa induk"
Rampas kuasa dengan air botol?
Bagaimanapun, Pak Samad menegaskan tuntutan mereka tetap tidak berubah.
Menurutnya,
perhimpunan BERSIH diteruskan kerana tuntutan gabungan itu itu tidak
dilayan sehingga memerlukan perhimpunan kedua dan ketiga diadakan.
Ditanya berhubung dakwaan perhimpunan BERSIH 3.0 dirampas pembangkang
dan mahu menggulingkan kerajaan, Pak Samad menyifatkan dakwaan itu hanya
"cakap sebelah sana", termasuk ketiga-tiga mantan ketua polis negara
dan mantan perdana menteri.
"Kita tidak boleh menghalang andaian orang. Kalau benar (dirampas pembangkang), mereka harus membuktikan...
"Yang
merampas kuasa mesti mempunyai senjata. Kita ada botol air sahaja. Saya
menolak (dakwaan mahu guling kerajaan)," katanya sambil ketawa sinis.
Bekas editor kanan akhbar
Berita Harian itu berkata, beliau kini lebih bersedia untuk "dilanggar" berbanding sewaktu bekerja di "akhbar hamba kuasa" sebelum ini.
Pada
masa itu, katanya, beliau terpaksa memikirkan banyak perkara, termasuk
keluarga dan rumahtangga sebelum melakukan sebarang tindakan.
Pak Samad sedia 'dilanggar'
"Kita
telan apa yang pahit, apa yang masin demi keluarga kita. Tapi apabila
sudah agak selesa sedikit, kita sedia dilanggar seperti sekarang. Saya
memang bersedia untuk dilanggar.
"Tapi biarlah langgar yang
berpatutan. Jangan bawakan kapal selam, saya hanya dibiarkan gunakan
bom. Kalau anda kapal selam, biarlah saya kapal selam. Adillah. Itu
umpamanya," katanya.
Beliau juga menolak dakwaan berfahaman kiri dengan menyifatkannya sebagai tuduhan "orang tidak belajar".
"Orang ini langsung tidak belajar. Saya tidak jadi tua untuk jadi bodoh. Saya jadi tua untuk jadi pandai." tegasnya.
Mengulas
penyertaan bukan Melayu dalam perhimpunan BERSIH kali ini, Pak Samad
berkata beliau "senang" dengan situasi baru itu, khususnya kaum Cina.
"Misalnya
jika diadakan BERSIH 4, saya fikir penyertaan orang bukan Melayu lebih
ramai kerana mempercayai adanya jentera kuasa ada sekarang ini yang
paling bobrok, di mana segala jenis tindakan termasuk samsengan
digunakan.
"Di mana janji-janji yang besar dihebahkan, di mana
wang yang sebanyaknya diberikan. Semua itu diberi ketika kerajaan berada
di ekor kuasa.
"Mereka memberi semua ini, semata-mata bersedia mengharapkan, inilah massa umum yang akan mengundi mereka," katanya.