Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menegaskan BERSIH turut memerlukan sokongan parti politik, termasuk BN bagi merealisasikan lapan tuntutan untuk mereformasikan sistem pilihan raya.

Katanya, tanpa dokongan parti politik yang dipimpin oleh "kuasawan", gabungan tersebut tidak kuat untuk memperjuangkan agendanya.

NONE"Mereka memperkuat, kalau BERSIH sahaja, tidak akan kuat. Kalau PAS, dokongan itu tidak ada, BERSIH sahaja tidak kuat. Sebenarnya kita juga mengajak BN menyertai (perjuangan BERSIH). Bukan salah kita.

"Kita menjemput semua kuasawan, baik daripada PAS, BN, PKR. Baik daripada Umno, MCA, MIC, tetapi mereka sendiri yang memisahkan diri untuk menyertainya," katanya dalam wawancara Malaysiakini

Tokoh yang lebih kenali sebagai Pak Samad bagaimanapun berkata keengganan BN menyokong hasrat gabungan itu kerana barangkali ia dirasakan akan "menggigit" mereka.

Beliau menjawab soalan berhubung peranan orang politik untuk menuntut lapan tuntutan BERSIH, sekalipun beliau optimis mampu menarik sokongan pelbagai pihak bagi meneruskan tuntutan mereka.

Katanya, BERSIH 2.0 mengambil alih kumpulan itu daripada BERSIH pertama yang dipimpin "kuasawan" bagi mengelakkan tanggapan organisasi itu dipergunakan untuk "berantakan dengan kuasa induk"

Rampas kuasa dengan air botol?


Bagaimanapun, Pak Samad menegaskan tuntutan mereka tetap tidak berubah.

bersih 3 rally 030512 01Menurutnya, perhimpunan BERSIH diteruskan kerana tuntutan gabungan itu itu tidak dilayan sehingga memerlukan perhimpunan kedua dan ketiga diadakan.

Ditanya berhubung dakwaan perhimpunan BERSIH 3.0 dirampas pembangkang dan mahu menggulingkan kerajaan, Pak Samad menyifatkan dakwaan itu hanya "cakap sebelah sana", termasuk ketiga-tiga mantan ketua polis negara dan mantan perdana menteri.

"Kita tidak boleh menghalang andaian orang. Kalau benar (dirampas pembangkang), mereka harus membuktikan...

"Yang merampas kuasa mesti mempunyai senjata. Kita ada botol air sahaja. Saya menolak (dakwaan mahu guling kerajaan)," katanya sambil ketawa sinis.

NONEBekas editor kanan akhbar Berita Harian itu berkata, beliau kini lebih bersedia untuk "dilanggar" berbanding sewaktu bekerja di "akhbar hamba kuasa" sebelum ini.

Pada masa itu, katanya, beliau terpaksa memikirkan banyak perkara, termasuk keluarga dan rumahtangga sebelum melakukan sebarang tindakan.

Pak Samad sedia 'dilanggar'


"Kita telan apa yang pahit, apa yang masin demi keluarga kita. Tapi apabila sudah agak selesa sedikit, kita sedia dilanggar seperti sekarang. Saya memang bersedia untuk dilanggar.

"Tapi biarlah langgar yang berpatutan. Jangan bawakan kapal selam, saya hanya dibiarkan gunakan bom. Kalau anda kapal selam, biarlah saya kapal selam. Adillah. Itu umpamanya," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan berfahaman kiri dengan menyifatkannya sebagai tuduhan "orang tidak belajar".

"Orang ini langsung tidak belajar. Saya tidak jadi tua untuk jadi bodoh. Saya jadi tua untuk jadi pandai." tegasnya.

NONEMengulas penyertaan bukan Melayu dalam perhimpunan BERSIH kali ini, Pak Samad berkata beliau "senang" dengan situasi baru itu, khususnya kaum Cina.

"Misalnya jika diadakan BERSIH 4, saya fikir penyertaan orang bukan Melayu lebih ramai kerana mempercayai adanya jentera kuasa ada sekarang ini yang paling bobrok, di mana segala jenis tindakan termasuk samsengan digunakan.

"Di mana janji-janji yang besar dihebahkan, di mana wang yang sebanyaknya diberikan. Semua itu diberi ketika kerajaan berada di ekor kuasa.

"Mereka memberi semua ini, semata-mata bersedia mengharapkan, inilah massa umum yang akan mengundi mereka," katanya.