Friday, April 10, 2009

Ini Bukan Kabinet Najib!

http://kickdefella.wordpress.com/
http://anwaribrahimblog.com/wp-content/uploads/2009/04/boneka.jpg

Kabinet yang tiada apa-apa yang luar biasa. Kabinet yang tidak menggambarkan sebarang perubahan. Kabinet ini tidak ada ‘wow factor’.

Ia bukan satu barisan kabinet yang menggambarkan usaha untuk mengukuhkan kembali negara tetapi satu barisan kabinet yang berusaha mengukuhkan Barisan Nasional dan UMNO melalui cara tradisional.

Kepanasan sokongan saya kepada Perdana Menteri baru ini nampaknya begitu cepat menjadi sejuk. Sejuk bila melihat dia menghantar Tun Dr. Mahathir ke perbatasan Pilihan Raya Kecil yang menggambarkan satu usaha tradisional yang ketandusan idea dan ternyata keputusan yang dibuat tanpa berfikir panjang dan sekarang bertambah sejuk bila melihat senarai kementerian di bawahnya dan barisan Menterinya.

Saya masih belum mahu mengkritik Perdana Menteri baru Malaysia. Saya masih berusaha menyakinkan diri saya untuk tidak cepat mengalah dalam sokongan saya kepadanya. Saya cuba memahami masalahnya.

Malangnya bila saya rasa saya faham masalahnya, ia tambah menyakinkan saya bahawa Najib juga akan mengulangi apa yang dilakukan oleh Abdullah. Yang menggerunkannya ialah, Najib melakukan apa yang Abdullah lakukan dalam tempoh yang terlalu cepat.

Ternyata apa yang kurang dalam keputusan Najib dari segi politik dan juga dari segi kepimpinan ialah kreativiti dan keberanian menentang arus. Tindakan-tindakan Najib setakat ini semuanya tindakan yang sudah diramal oleh pengkritik dan musuh politiknya. Tindakan Najib membawanya tidak lain tidak bukan, ke jerat yang tersedia buatnya.

Apakah ini benar-benar tindakan Najib atau tindakan seorang yang bercelaru dengan pelbagai tekanan? Tindakan Najib terlalu berbau Mahathir di dalam banyak aspek.

Saya mengharapkan Najib mempunyai kekuatan sendiri, bertindak diluar norma biasa politik UMNO, BN dan Malaysia. Tindakan-tindakan yang tidak pernah diramal yang membuktikan beliau seorang yang kreatif dan berani mengambil risiko.

Bagaimanapun, Najib cepat melihatkan tindakannya hanyalah tindakan seorang pentadbir dan bukan tindakan seorang pemimpin ulung.

Tiada apa yang berubah didalam kabinet Najib kalau dibandingkan dengan Kabinet Abdullah selepas PRU 12. Orangnya mungkin bertukar tetapi tabii dan ragamnya sama.

Setidak-tidaknya Abdullah sedikit berani dan kreatif bila menamakan Zaid Ibrahim sebagai Menteri. Seorang yang jelas menentang arus. Seorang yang jelas mahukan reformasi sebenar dan berani berusaha melakukannya. Bukan sekadar retorik dan hanya reformasi untuk tujuan politik. Malangnya perlantikan Zaid menjadi tindakan bodoh dan bahan jenaka kerana mengapa Zaid tidak diberi peluang mempertahankan kerusinya dalam PRU 12 kalau sudah ikhlas rancangan Abdullah mahukan Zaid ke dalam kabinetnya?

Kabinet baru Najib tidak menunjukkan sebarang muka baru dalam ertikata sebenar-benarnya. Orang-orangnya tetap orang lama dalam politik. Orang-orangnya semua kita tahu dan kita boleh dengar cerita-cerita masam dan masin mereka.

Tidak ada satu nama yang membuat kita tertanya ‘wah siapa dia tu’ dan bila kita mendapat jawapannya kita rasa teruja dengan latar belakangnya.

Bahkan, Najib telah melepaskan peluang untuk membawa nafas baru ke dalam kabinet apabila akur dengan desakan-desakan luar dan dalam. Najib mengorbankan Khairy Jamaluddin (KJ), satu-satunya penjawat jawatan di dalam UMNO yang mempunyai ‘cv’ yang bisa membuat orang yang tidak mengenalinya teruja dengan latar belakangnya dan laluannya ke menara politik.

Mengapa harus diketepikan KJ kalau kaki disko yang suka melakukan gangguan seksual ditempat awam boleh diambil ke dalam kabinet. Mengapa harus diketepikan KJ kalau ‘lelaki’ yang suka menghunus keris dan mengguris perasaan kaum lain boleh dikekalkan?

Kalau dikatakan KJ jahat, rasanya Johari Baharom lebih jahat kerana menderhaka dan menghina bekas Presiden UMNO. Johari Baharom juga walau berjaya membersihkan dirinya, terus dicurigai.

Setidak-tidaknya KJ tidak pernah bertindak memukul seseorang sehingga lekuk kepalanya seperti Menteri yang terus dikekalkan oleh Najib.

KJ memang tidak popular, tetapi dia lebih berakal berbanding hampir keseluruhan pilihan Najib. Kalau mahu melantik penipu, penjenayah atau pun Menteri, biarlah yang berakal.

Melihatkan senario ini, bukankah lebih baik melantik KJ daripada Mukhriz. Bahkan adalah lebih senang bagi Najib mempertahankan perlantikan KJ daripada perlantikan Mukhriz.

Seolah-olah Najib tidak mempunyai kuasa penuh dalam perlantikan Menteri kabinetnya. Kabinetnya menjadi begitu bercelaru sehinggakan satu kementerian yang bertanggungjawab menjaga kepentingan orang Melayu dalam aspek perniagaan dan pendidikan lenyap tak tahu hilang ke mana.

Beberapa kali saya melihat dan mencari siapakah menteri Kementerian Pembangunan Usahawan tetapi tak jumpa-jumpa. Ke mana perginya MARA? Rasanya tak juga dijelaskan dalam ucapan panjang Najib sebelum pengumuman kabinetnya.

Mungkin harapan saya kepada Najib terlalu tinggi. Saya harapkan kabinet yang akan membuat Anwar Ibrahim berpeluh dan membuat Nasharuddin Mat Isa menangis kerana terlepas peluang untuk turut serta bergelar menteri.

Satu barisan kabinet yang membuat anak-anak muda berasa masa depan mereka di Malaysia akan lebih bermakna.

Selain dari Peter Chin, senarai lain mengecewakan. Ianya dipenuhi dengan ‘has been’ dan mereka yang sepuluh tahun dulu dikatakan ‘berpotensi’ tetapi hingga kini tinggal potensi.

Merenung kembali senarai kabinet ini, semakin suram sejuk harapan saya untuk melihat perubahan seterusnya di dalam institusi lain seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Di Raja Malaysia dan lain-lain.

Namun, jauh disudut hati saya, masih ingin terus memberi sokongan kepada Najib. Sekurang-kurangnya biarlah sehingga beberapa bulan. Harap-harapnya.

Tetapi, juga jauh disudut hati saya, terus berkata-kata, ini bukan Kabinet Najib! Ini bukan Kabinet Najib! Ini bukan keputusan Najib. Kabinet ini langsung tidak melambangkan retorik yang Najib uar-uarkan sejak menjadi Perdana Menteri. Kabinet siapakah ini?

No comments:

Post a Comment