28 December 2009
Salam 2 all.Saya sudah beberapa kali membangkitkan di Parlimen isu berkaitan dengan pembiayaan pembelajaran di IPTS/IPTA melalui skim PTPTN.
Antara aduan yang pernah saya terima adalah berkenaan penyalahgunaan wang PTPTN oleh IPT-IPT, terutamanya dikalangan IPTS.
Cuba bayangkan ada IPT yang mempunyai pelajar lebih daripada 12 ribu dan mengaut duit PTPTN melebihi RM400 juta!!
Kelihatan saperti PTPTN ini sudah menjadi saperi lubuk untuk mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Dan ada IPT yang hidup semata-mata kerana duit PTPTN!!
Ini menyebabkan ada dikalangan IPT ini yang menyalahgunakan wang PTPTN ini. Masalah besarnya ialah Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi mengamalkan dasar tidak menyalurkan wang PTPTN ini kepada pelajar, sebaliknya membayar kesemua wang PTPTN ini kepada IPT terbabit.
Akibatnya, ada pelajar menjadi mangsa tebusan kepada IPT-IPT ini. Ada maklumat kami terima yang IPT tertentu yang menyalahgunakan wang ini dengan menggunakannya untuk tujuan lain. Ada juga maklumat kami perolehi pengurusan IPT yang menggunakan wang ini sebagai "rolling fund" perniagaan lain! Maklumat ini sedang kami siasat dan perhalusi lebih mendalam sebelum tindakan lanjut kami ambil.
Terdapat juga maklumat kami perolehi daripada pelajar dan ibubapa yang tidak berpuashati dengan potongan-potongan yang tidak menasabah yang dibuat terhadap para pelajar antaranya didenda kerana rambut diwarnakan (walaupun pelajar bertudung dan warna dilihat semasa di dorm); kerana kasut sukan tak bersesuaian kononnya menurut peraturan IPT; kerana tidak meninggalkan pas pelajar semasa keluar masuk kampus dan macam-macam alasan remeh dan tidak masuk akal diguna oleh IPT-IPT ini untuk memeotong duit PTPTN pelajar..
Malah ada pelajar yang mengadu duit pembayaran hujung semester mereka terima kurang 40%-50%!!
Dan apabila pelajar meminta resit atau surat pengesahan pemotongan ini, maka mereka di ugut akan dikenakan tindakan, malah ada yang di ugut akan digagalkan peperiksaan, atau dibuang terus dari IPT. Maka ketakutanlah pelajar-pelajar ini, mereka terima sahaja tindakan drakonian dan lintah darat pihak IPT-IPT ini.
Saya bercadang untuk membawa isu PTPTN ini dengan lebih lengkap dan bersepadu, insyallah dalam sidang Parlimen akan datang.
Oleh itu saya memohon kerjasama dan bantuan saudara/i untuk membantu saya dalam isu ini dengan perkara berikut:
1. Apakah langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak KPT dalam pembayaran wang PTPTN ini. Adakah dasar membayar terus kepada IPT ini perlu diubah dengan membayar kepada pelajar. Pihak KPT mendakwa kalau pembayaran dibuat terus kepada pelajar, maka dikhuatiri pelajar tidak akan membayar wang yuran dan lain-lain kepada pihak IPT. Saya telah mencadangkan supaya pihak IPT mengemukakan bil mereka kepada KPT dan pembayaran dibuat hanya untuk yuran dan lain-lain kepada IPT. Tetapi baki wang PTPTN termasuk elaun bulanan dibayar terus kepada pelajar oleh pihak KPT. Saya percaya kalau Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) boleh mengendalikan pembayaran saperti itu untuk pelajar diluar negara, mengapa pulak KPT tidak boleh melaksanakannya di IPT-IPT tempatan. Mungkin boleh ditubuhkan satu bahagian khas di KPT untuk mengendalikan urusan PTPTN ini dengan nama Jabatan Pengurusan PTPTN.
2. Saya perlukan maklumat dan butiran lebih jelas berserta bukti-bukti saperti resit, dokumen dan lain-lain untuk menilai samada perkara pemotongan tidak bermunasabah ini berleluasa (rampant) ataupun terhad kepada IPT-IPT tertentu sahaja. Oleh itu saya sangat berbesar hati jika dapat butiran serta bukti-bukti itu dihantar terus kepada saya melalui email
zul_lawyer@yahoo.com
atau melalui pos ke
ZULKIFLI BIN NOORDIN
TINGKAT 7, WISMA YAKIN
JALAN MASJID INDIA
50100 KUALA LUMPUR
Saya juga mengalu-alukan apa juga soalan tambahan atau persoalan dan isu serta cadangan lain yang ingin saudara/i bangkitkan berkaitan isu PTPTN ini untuk saya kemukakan kepada pihak Kementerian.
Perlu saya perjelaskan bahawa tujuan saya membangkitkan isu PTPTN ini adalah demi menjaga kebajikan dan kepentingan pelajar, bukannya untuk emnacari salah sesiapa.
Malahan saya punya hubungan baik dengan YB Dato Khaled Nordin dan YB Dato Saifuddin Abdullah, Menteri dan Timbalan Menteri KPT. Saya rasa mereka juga akan mengalu-alukan apa juga pandangan, cadangan dan bukti yang ada untuk menambahbaik dasar mereka.
Saya juga bertujuan supaya dapat kita membantu pihak KPT untuk mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat khususnya para pelajar. Kita tidak mahu nanti ada pihak yang mengambil kesempatan membina kekayaan mereka daripada dasar PTPTN ini, dan lebih malang, menganiaya dan menzalimi pelajar kita di IPT-IPT.
Semoga ALLAH memberkati usaha kita semua.
Wassalam and grasias amigos.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
11 Muharram 1431
28 Disember 2009
No comments:
Post a Comment