Wednesday, December 23, 2009

Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi JAIS tak tangkap

Qaradawi @ Masjid Shah Alam

http://ikatkata.wordpress.com/2009/12/20/qaradawi-masjid-shah-alam/
By Riduan Khairi
Syarahan Qaradhawi kali ini diterjemah oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dengan begitu baik sekali. Hampir tidak ada perkataan Qaradhawi yang tidak beliau terjemahkan.
Qaradhawi memulakan syarahan dengan merakamkan penghargaan beliau kepada kerajaan Malaysia dan kenalan baiknya DS Anwar sendiri. Beliau menghimbau kenangan pertama kali melawat Malaysia atas jemputan DS Anwar bagi membantu mengatasi kemelut UMNO pada tahun 1978.  Sehingga kini beliau sudah datang menziarahi Malaysia 7 atau 8 kali.
Kemudian beliau menegaskan perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa. Syaikh Yusuf Al-Qaradawi pernah sebuah buku khas membicarakan tentang perjuangan mendapatlan Masjid al-Aqsa.
Hijrah
Dalam syarahan lebih satu jam ini (termasuk terjemahan), beliau membawakan beberapa pengajaran dari peristiwa hijrah Rasul. (Tiada satu pun dari pengajaran itu supaya kita berarak setiap tahun dan berselawat beramai-ramai atau berzanji/qasidah).
Beberapa pengajaran yang beliau sebut :
1. Sabar dalam perjuangan (beliau menulis buku :Al-Quran Menyuruh Kita Bersabar)
2. Membuat perancangan dan menyusun strategi untuk berdakwah
3. Di Madinah, Nabi mula mengasaskan masyarakat Islam. Qaradhawi tidak menggunakan istilah negara Islam, sebaliknya masyrakat. Beliau menegaskan masyarakat bermula dengan kumpulan  (beliau menggunakan istilah jamaah). Namun dalam syarahan ini beliau tidak memberi definis yang terperinci tentang jamaah.
Beliau membawakan contoh lafaz surah Al-Fatihah yang menggunakan kata ganti ‘kami’.
4. Beliau juga membawakan perbezaan pendekatan Al-Quran (ayat) fasa Mekah dan fasa Madinah.
5. Perkara pertama yang dilakukan nabi di Madinah ialah membina masjid. Fungsi masjid di zaman nabi luas. Masjid sebagai tempat ibadah, tempat menuntut ilmu dan menyelesaikan persoalan umat.
6. Kemudian nabi mengadakan pasar, tempat berniaga sebagai alternatif kepada pasar yang dikuasai oleh golongan bukan Islam. Bukan sekadar beliau mengadakan pasar, bahkan nabi sering memantau urusniaga agar sentiasa patuh kepada syara’. Syaikh Yusuf Qaradhawi membawakan contoh, satu hari nabi menyeluk tangannya ke dalam timbunan kurma dan mendapati bahagian bawah timbunan kurma itu basah. Nabi menegaskan bahan dagangan hendaklah dikelaskan dengan gred. Yang kurang berkualiti / rosak dijual dengan harga lebih murah.
7. Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Beliau membawakan contoh Abdurrahman Auf disaudarakan dengan Saad bin Rabi’.
Pada akhir syarahan (mungkin atas persahabatan beliau dengan DS Anwar) Qaradawi membawakan kisah fitnah yang menimpa Aishah. Isteri nabi itu dituduh curang oleh golongan munafik ketika tertinggal dalam satu perjalanan. Panjang lebar juga Shaikh Yusuf menjelaskan golongan munafik dan ciri-cirinya. ‘Mereka berada di kalangan kita, orang Islam’, tegas beliau.
Doa
Selepas selesai menyampaikan syarahan, beliau diminta oleh penganjur untuk mengetuai bacaan doa. Antara doa yang beliau bacakan termasuk doa untuk menutup aurat/aib dan doa untuk memenangkan orang Islam ke atas orang kuffar.
Antara yang hadir termasuk :
Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim (MB Selangor) , Dato Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Dato Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Ekonomi Selangor), Dato Hassan Ali (Exco agama), Datok Khusrin (Pengarah JAIS), dan Nik Nazmi (Setpol MB Selangor).
Beberapa catatan menarik
1. Syaikh Yusuf Qaradawi menjadi imam solat maghrib. Beliau membaca Surah al-Fatihah dengan membaca bismillah perlahan. Kemudian juga beliau tidak berzikir dan berdoa kuat selepas solat.
2. Selepas azan Isya’ dilaungkan beliau berdoa (doa selepas azan) tanpa menadah tangan. Saya tampilkan beberapa artikel berkaitan menandah tangan ketika berdoa. Link1, Link2.
3. Tidak pula JAIS menangkap Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kerana mengajar tanpa tauliah atau mengajar lain dari mazhab arus perdana (meminjan istilah Uthman Muhammady). Banyak pegangan Qaradhawi yang tidak mengikut ‘arus perdana’.
4. Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi antara orang yang dikafirkan oleh golongan Ahbash. Ahbash juga mengkafirkan Ibnu Tamiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jawziyah. Kedua tokoh ini banyak mempengaruhi Qaradhawi. Lihat laman yang membongkar aktiviti ahbash klik1. Ironinya YADIM memberikan pandangan yang kontra tentang Ahbash.
5. Sebilangan penceramah dan ustaz dipengaruhi oleh golongan Ahbash. Antara yang dikaitkan dengan Ahbash termasuk Zamihan Al-Ghari dan Mahfuz Muhamad. Dua penceramah agama ini sangat agresif, sehinggakan pihak JAKIM sendiri berlepas diri dari tindakan Zamihan, mankala JAIS sendiri berlepas diri dari sebarang kenyaatn yang dikeluarkan oleh Mahfuz. Semoga Allah memberi petunjuk kepaad mereka.
Catatan Dr. Maza tentang Syaikh Yusuf Qaradhawi klik
Catatan dari Malaysiakini. Klik.
http://ikatkata.wordpress.com

4,000 hadiri ceramah Dr Yusuf al-Qaradhawi
Abdul Rahim Sabri
Dis 20, 09
6:20pm
 http://malaysiakini.com/news/120254
Kira-kira 4,000 hadirin memenuhi dewan solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi malam tadi.

Dr Yusuf yang tiba kira-kira jam 7 petang, kemudiannya mengimamkan solat maghrib berjamaah bersama-sama makmum yang menunggu beliau sejak jam 6 petang lagi.

Bagaimanapun, tokoh pemikir Islam dari Mesir itu kelihatan tidak begitu sihat hanya mengimamkan solat dengan keadaan duduk di atas kerusi.

Sewaktu selesai solat berjamaah dan menuju ke kerusi yang disediakan berhampiran dengan mimbar masjid, hadirin yang berada di kiri dan kanan mimbar berpusu-pusu menghampiri beliau dengan lebih dekat menyebabkan pihak keselamatan dan urusetia terpaksa menenangkan keadaan.

Urusetia juga ketika itu, mengingatkan kepada hadirin agar tidak mendekati beliau dengan lebih rapat supaya dapat memberi ruang kepada Dr Yusuf untuk menyampaikan syarahan dengan lebih jelas dan selesa.

Turut hadir mendengar syarahan tersebut adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin dan ahli jawatankuasa PAS pusat Abdul Ghani Shamsuddin.

Dr Yusuf yang baru sahaja dianugerahkan tokoh Ma'al Hijrah pada tahun ini kelmarin, menyampaikan syarahan perdana yang menyentuh tentang pengajaran yang diperolehi oleh umat Islam dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Syarahan beliau memakan masa selama dua jam, bermula kira-kira 7.35 malam termasuk terjemahan syarahannya yang dipimpin oleh Abdul Ghani.

'Hijrah satu kemenangan'


Dalam syarahan beliau itu, Dr Yusuf menegaskan hijrah Rasullullah SAW adalah satu pertolongan daripada Allah SWT yang benar-benar berlaku dan bukannya satu khayalan.

"Dalam al-Quran jelas Allah menurunkan tentera (malaikat) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar . Allah tampilkan mereka tidak lain adalah untuk membantu baginda. Ini jelas di dalam Al-Quran.

"Hijrah adalah satu kemenangan kerana mereka (umat Islam di Mekah) percaya (kepada Allah), mempertahankan prinsip akidah, walaupun dianiaya, diseksa dan pelbagai bentuk penyeksaan," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran untuk menguatkan hujahnya.

Dalam kesempatan itu, beliau juga mengemukakan contoh bagaimana sahabat baginda, Sumayyah dan Ammar ibn Yasir diseksa oleh kaum kafir Quraisy kerana menerima ajaran Nabi Muhammad SAW sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Mereka adalah antara sahabat baginda yang terawal mati syahid dalam sejarah Islam, tambah ilmuan Islam itu.

Menurut Dr Yusuf, selain faktor penyeksaan yang diterima oleh para sahabat baginda, ahli keluarga dan kaum kerabat turut baginda dikenakan tekanan sosial dan diboikot dalam bidang ekonomi, menyebabkan Allah memerintahkan baginda berhijrah ke sana.

Dr Yusuf berkata antara pengajaran lain yang perlu dicontohi oleh umat Islam daripada peristiwa agung itu adalah "bagaimana Rasullullah SAW mengatur, merencanakan dan merancang strategi untuk berhijrah".

Katanya baginda mengatur strategi antaranya, memilih Abu Bakar Al-Siddiq menemani beliau sewaktu berhijrah, memilih Ali Abi Talib bagi menggantikan beliau ditempat tidur baginda, dan melantik Asma Abu Bakar menjadi sumber berita kepada Rasullah SAW sewaktu berhijrah.

'Harus atur strategi'

Sebahagian strategi Rasulullah SAW juga ialah memilih penunjuk jalan yang benar-benar arif ke Madinah supaya terhindar daripada kaum kafir Quraisy, tambah ilmuan Islam itu.

"Oleh itu setiap orang Islam harus mengatur strategi dan operasi supaya perjalanan hidup dapat bergerak dengan cara yang betul dan kemudiannya kita berserah kepada Allah. Allah akan membantu kita selepas itu," kata Dr Yusuf sambil membaca sepotong ayat yang dibaca oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Bakar meminta beliau tidak bersedih dan gusar dengan kaum kafir Quraisy.

Dalam peristiwa hijrah juga, Dr Yusuf berkata bahawa Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW bukan agama yang bersifat individualistik.

Sebaliknya katanya, Islam itu menganjurkan manusia agar hidup berjamaah atau berkumpulan dengan baginda mengasaskan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, yang dinamakan sebagai kaum Ansar.

"(Ia adalah) permulaan kepada sesebuah masyarakat itu berasaskan kepada Islam... tidak mungkin penyebaran Islam akan berlaku tanpa ada orang yang mempertahankan Islam.

"Berjamaah (atau berkumpulan) adalah sesuatu yang disuarakan oleh Allah dalam al-Quran," katanya sambil membaca ayat keempat dan kelima dari surah al Fatihah, yang menggalakkan manusia hidup berkumpulan bukan bersikap individualistik.

Menurut Dr Yusuf lagi, pengajaran dari peristiwa hijrah tidak terhenti di situ sahaja, apabila baginda membina masyarakat yang berteraskan kepada iman dan Islam.

Menurutnya, baginda mempersaudarakan kaum Ansar dan kaum Muhajirin (umat Islam yang berhijrah ke Madinah), sebagai asas membina masyarakat Islam 'Rabbani Insani' di situ.

Bina masjid


Ini kerana, wahyu yang turun di Madinah, secara umumnya mengisahkan tentang akhlak termasuk pensyariatan solat, puasa, urusan bermuamalat dan sosial di kalangan mereka termasuk perlaksanaan hukum qisas dan pengurusan hutang piutang berlaku selepas peristiwa hijrah.

Dr Yusuf berkata, bagi tujuan tersebut, Rasulullah SAW membina sebuah masjid sebagai pusat sosial dan pertemuan dengan cara menunaikan solat berjamaah serta tempat bermesyuarat.

Baginda juga menubuhkan sebuah pasar bagi meningkatkan kegiatan ekonomi umat Islam, yang menjadi tempat singgahan para pedagang dari luar, tambahnya.

"Pasar itu mempunyai pelbagai seksyen seperti buah-buahan, sayur-sayuran, lembu, unta dan baginda menjadi pemantau terhadap sikap peniaga dan pedagang (yang berniaga)," katanya sambil menceritakan kisah seorang peniaga yang menipu dengan menjual tamar yang tidak elok.

Maka Dr Yusuf membaca sepotong hadis sahih yang menceritakan teguran Rasulullah SAW terhadap perbuatan peniaga tersebut, yang cuba menipu pelanggan.

Sebelum beliau mengakhiri syarahan beliau, ilmuan Islam itu, mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan "orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam".

'Pendustaan kaum munafik'

Katanya, mereka ini mengaku beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka benci kepada Islam. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik.

Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini "lebih dahsyat daripada zaman silam".

Beliau memberi contoh bagaimana isteri baginda Rasullah SAW, Aisyah Abu Bakar difitnah mempunyai hubungan dengan seorang sahabat, yang terkenal dalam sirah baginda sebagai kisah 'Hadith Al-Ifki'.

Dalam peristiwa ini, orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah berhubung perkara tersebut dalam masyarakat Islam di Madinah, menyebabkan ada di kalangan sahabat terpedaya dan termakan dengan fitnah tersebut.

"Ayat-ayat di dalam surah ini, Allah mendedahkan tipu daya mereka kerana mereka begitu mudah menjatuhkan martabat orang lain.

"Mereka menuduh (Aisyah) tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta," katanya.

Selepas menyampaikan ceramah, Dr Yusuf diminta membaca doa untuk kesejateraan umat Islam dan hadirin baramai-ramai mengaminkannya, sebelum diiringi dengan laungan takbir.

No comments:

Post a Comment