Monday, January 25, 2010

Adnan Sempit Kaut RM3.7 Juta Seminggu!

Adnan Sempit Seminggu Kaut RM3.7 Juta!

23-Jan-2010 | Oleh: Roslen Fadzil
'
KUALA LUMPUR, 23 JANUARI 2010:  Bukan sekadar filem Mat Motor, Adnan Sempit telah berjaya mengaut berjuta-juta wang daripada rakyat Malaysia sejak ia ditayangkan kepada umum.

Produser MIG, David Teo, ketika dihubungi berkata, filem lakonan Saheizy Sam, Intan Ladyana, Along Raja Lawak dan Cat Farish itu telah pun berjaya meraih kutipan tiket sebanyak RM3.7 juta hanya selepas seminggu ditayangkan dan ia satu rekod baru untuk filem terbitannya.

"Pada hari pembukaan saja, Adnan Sempit telah mengaut RM500,000 dan mengatasi filem saya dulu, Jangan Pandang Belakang. Malah pada tayangan Sabtu lalu sahaja, 100,000 tiket telah terjual dan selepas seminggu, kutipannya berjaya mencecah RM3.7 juta. Saya yakin jika momentum ini bertahan, filem ini dapat capai sekurang-kurangnya RM7 juta. Kalau jumlah itu tercapai, bermakna ia dapat mengatasi rekod Jangan Pandang Belakang iaitu sebanyak RM6.4 juta.

"Awalnya kami mengagak filem ini hanya untuk tatapan golongan remaja dan Mat Motor tetapi yang jelas, ramai telah  membawa seisi keluarga menonton filem ini dan akui sangat terhibur. Malah golongan Mat Motor sendiri telah berulang kali pergi menonton kerana jalan cerita dan lakonannya begitu menarik dan melucukan," kata David kepada murai.com.my.

Beliau berkata, pawagam di bandar-bandar kecil memang penuh sesak setiap hari, padahal sekarang bukannya musim cuti sekolah. Antaranya di Teluk Intan, Bahau, Taiping dan juga di pawagam Alamanda, Putrajaya.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua penonton kita yang telah memberikan sokongan kepada filem ini. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada semua peminat," kata David.

Adnan Sempit arahan Ahmad Idham antara lain mengisahkan percintaan antara Mat Motor dengan gadis korporat. Pelbagai insiden menarik berlaku dalam percintaan mereka dalam usaha untuk mengikis stigma yang kurang tepat terhadap golongan Mat Motor.

No comments:

Post a Comment