Thursday, March 5, 2009

Akhil Hayy disukai Waheeda

Waheeda: Saya sangat menyukai Akhil!

Dalam linangan airmata Waheeda bagaikan tidak dapat merungkai masalah dalaman yang sedang dihadapinya - foto MSTAR ONLINE

[SEMASA] KONTROVERSI yang melanda dirinya sudah tidak dapat ditanggung lagi oleh tuan empunya diri. Berkali-kali sudah kenyataan dikeluarkan oleh Waheeda berikutan isu hubungan intimnya dengan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, namun nampaknya perkara itu masih lagi berlarutan.

Lebih setahun lamanya dia menanggung 'beban' gara-gara kes panas itu, lebih-lebih lagi apabila dia pernah dikatakan telah pun berkahwin dengan Akhil dan menjadi isteri keduanya.

Dalam linangan air mata, Waheeda akui, sejujurnya, cukup perit untuk dirinya terus berdepan dengan isu tersebut. Malah, dari riak wajahnya, penyanyi kelahiran Johor Bahru ini seolah-olah 'menyimpan' sesuatu yang sukar untuk dia sendiri jelaskan.

"Macam-macam orang bercakap buruk tentang saya...saya perampas suami orang la, asyik bertukar-tukar lelaki la. Saya sudah banyak simpan 'rahsia' orang. Begitu juga dengan kontroversi yang melanda saya dengan Akhil.

"Jangan sampai saya hilang sabar dan buka semua cerita sehingga perlu mengaibkan orang. Selama ini cukup perit saya menanggung semua ini.

"Saya telah berkorban banyak demi orang lain. Bukan setakat berkaitan dengan Akhil, tetapi mereka yang pernah rapat dengan saya sebelum ini. Jika saya tidak sekuat ini, tak tahulah apa yang akan jadi," tutur Waheeda yang ditemui pada majlis pelancaran sitkom Nana Tanjung di Sri Pentas, semalam.

Sambil mengesat airmata, Waheeda masih cuba membendung kisah sebenar antara dia dan Akhil.

Sukar untuk memahami apa sebenarnya yang cuba diluahkan oleh gadis berusia 30 tahun ini. Tetapi, menerusi kenyataan itu, jelas menunjukkan Waheeda seakan-akan menggambarkan yang perasaannya sendiri sedang bergolak.

Cuma, penyanyi dan pelakon popular ini memang dikenali sebagai seorang yang cukup 'perahsia'. Seboleh mungkin, Waheeda tidak mahu mendedahkan apa sebenarnya yang tersirat di sebalik cakap 'teka-teki'nya itu.

Ditanya adakah dirinya tertekan kerana label negatif lebih cenderung ke arahnya, berbanding Akhil sendiri gara-gara kisah itu, Waheeda hanya menjawab ringkas:

"Saya pun tak tahu. Mungkin dia (Akhil) ni jenis yang terlalu baik atau entahlah....Tetapi, apapun, keluarga saya, keluarganya serta teman rapat Akhil sendiri tahu kisah sebenar."

Namun begitu, ketika diajukan soalan adakah hubungannya dengan Akhil masih baik, tutur Waheeda, dia tidak mempunyai masalah dengan persahabatan mereka meskipun ramai yang membuat pelbagai tanggapan terhadap hubungan itu.

Malah, sebelum ini dia sendiri pernah bersemuka dengan isteri penceramah itu bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

"Saya pernah berbual dengan isterinya tentang perkara ini. Memang kami tidak ada masalah. Saya pernah berkunjung ke rumah mereka pada Hari Raya. Malah, isterinya ada juga cuba untuk menjodohkan saya dengan adik Akhil.

"Saya sendiri pun tak tahulah macam mana untuk jelaskan tentang hal ini. Setiap kali diajukan soalan sama ada benar saya ada hubungan istimewa dengan Akhil, saya pasti akan jawab 'tidak'...atau mungkin sebenarnya orang nak dengar saya cakap 'ya' walaupun perkara itu tidak benar?.

"Tidak ada benda untuk diselindung, malah sekarang ini pun saya dan Akhil tetap pergi makan dan lepak bersama-sama," luah Waheeda yang menambah dirinya dan Akhil sebenarnya turut mempunyai ikatan persaudaraan jauh di sebelah bapanya.

Tegas Waheeda, jika ditakdirkan dia benar-benar berkahwin dengan Akhil, dia tidak akan merahsiakan tentang perkara itu meskipun sedar diri akan dikritik hebat.

"Sudah tentu saya tidak akan berahsia andai kata memang saya ditakdirkan berkahwin dengannya. Keluarga saya juga bukanlah jenis yang akan merahsiakan perkahwinan anak mereka.

"Apapun, saya akui, saya sangat menyukainya (Akhil), tetapi kami tidak bercinta!," kata Waheeda yang juga kemungkinan akan berduet bersama Akhil pada persembahan Maulidurrasul di Dataran Merdeka pada 9 Mac ini.

No comments:

Post a Comment