Saturday, April 4, 2009

Jangan Tertipu!

Anwar minta rakyat jangan tertipu...
Wong Teck Chi

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat supaya tidak tertipu dengan pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Ketika ditemui pemberita di Bukit Selambau, Anwar berkata pembebasan tahanan ISA itu tidak sama dengan reformasi

Sepatutnya, tegas beliau, Akta Keselamatan Dalam Negeri itu dimansuhkan terus.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, memang sudah menjadi kebiasaan bagi perdana menteri yang baru dilantik, untuk membebaskan tahanan ISA bagi menunjukkan sikap keterbukaannya.

Tetapi, katanya, selepas itu, mereka kembali semula bersikap kuku besi dan terus menggunakan ISA bila kuasa mereka terancam.

Contohnya, tegas Anwar, beliau sendiri dibebaskan oleh Tun Hussein Onn selepas dilantik sebagai perdana menteri ketiga.

"Tetapi selepas itu, (beliau) kembali guna ISA untuk tangkap orang. Dr Mahathir juga sama, bila naik, beliau juga bebaskan tahanan ISA.

"Tetapi sampai Operasi lalang beliau tangkap orang seperti Lim Kit Siang," katanya.

Anwar berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga membebaskan tahanan ISA apabila menjadi pertama kelima.

"Tetapi apabila (merasakan) kerajaannya terancam, beliau juga menangkap pemimpin Hindraf," tambahnya.

Dalam ucapan sulungnya ke seluruh negara malam ini, selain mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA, termasuk dua pemimpin Hindraf, Najib juga membatalkan larangan penerbitan ke atas akhbar PAS dan PKR - Harakah dan Suara Keadilan.

Dua pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam V Ganabatirau, 40, dan R Kenghadharan, 40.

Mereka adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan sudah hampir dua tahun. Tiga orang lagi ialah peguam M Manoharan, 46, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, P Uthayakumar, 46, dan bekas pegawai bank, K Vasantha Kumar, 36.

Turut dibebaskan ialah Pakana Selama, Amir Hussain, Sundaraj Vijay, San Khaing, Wan Amin Wan Hamat, A Artas A Burhanuddin, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Mohd Arasad Patangari, Idris Lanama dan Binsali Omar

Menurut Menteri Kementerian Dalam Negeri, mereka ini dibebaskan kerana tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada negara.

No comments:

Post a Comment