Monday, April 20, 2009

Orang kita berkemban

Aditya: Orang kita sudah lama berkemban!
Aktres Julia Ziegler juga gemar berpakaian 'kemban' ketika di majlis keraian.

SERING di kalangan kita yang buat-buat terkejut dan hairan apabila menyaksikan perempuan berkemban. Kejutan dan kehairanan itu bertambah menjadi-jadi apabila yang berkemban atau mengikat kain sarung pada paras buah dada dan membiarkan dada terdedah itu dilakukan oleh selebriti.

Macam yang berlaku sebelum ini dan sebelum-belumnya termasuk yang terbaru, personaliti TV yang berkemban dengan tuala putih. Lokasi? Wallahualam, sama ada hotel atau rumah sendiri, hanya Tuhan dan empunya badan yang mengetahui.

Visual itu tersebar di laman sesawang internet, lalu dipetik oleh bijak pandai untuk dijadikan isu cerita tulisan di akhbar atau media masing-masing.

Sebelum pergi jauh lagi, Aditya sempat menjenguk Kamus Dewan untuk mencari makna sebenar kemban supaya ia tidak tersasar daripada apa yang sedang and abaca sekarang.

Mengikut kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu, kemban adalah kain yang dibelitkan di badan untuk menutup dada (perempuan) dan berkemban pula diistilah sebagai memakai kain sarung sahaja hingga ke paras dada (tidak berbaju).

Bagaimanapun secara kasarnya, apa yang dipakai oleh selebriti yang dimaksudkan boleh dikategorikan sebagai berkemban walaupun dengan tuala putih. Maka kecohlah seantero alam kerana selebriti itu berkemban sehingga menjurus kepada baur-baur negatif. Memanglah nampak tidak sopan wanita Melayu berkemban begitu.

Dynaz dengan fesyen kembannya.

Namun pokok pangkalnya, di mana dan bila dia berkemban. Adakah di khalayak ramai atau di dalam adegan filem? Difahamkan gambar itu peribadi yang tersebar melalui internet. Kira sebagai seorang lagi mangsa kecanggihan teknologi terkini.

Itu yang dilihat oleh orang media, itu yang mereka nampak terutama mereka yang terlibat dalam dunia hiburan Melayu. Mereka tidak sedar yang mata mereka sengaja ditutup apabila berdepan dengan lebih ramai artis wanita tempatan yang berpakaian ala kemban.

Nampak tidak salah barangkali pada mata mereka sebab atas alasan fesyen ‘off-shoulder’ yang terang-terang diinspirasikan dari kemban dan berkemban cara nenek moyang kita dulu.

Tengok Puteri Gunung Ledang the Musical, daripada Puteri hinggalah kepada dayang-dayang dan pengasuh. Jelasnya mereka berkemban tetapi tidak pula dibisingkan kerana atas tiket seni dan keperluan naskhah teater kisah cinta dua negara.

Minggu lalu, berduyun-duyun rakyat industri hiburan berkumpul di puncak Genting Highlands untuk mengetahui siapa popular dan paling popular.

Aktres Tiara Jacquelina yang mempelopori fesyen kemban.

Dah tahu siapa yang naik ke pentas menerima trofi tetapi sekali lagi wartawan hiburan memejam mata melihat fesyen kemban bertatahkan ricikan kain tenunan yang diangkat sebagai tema rona berbusana untuk majlis itu.

Biarpun pemanasan global semakin menjadi, tetapi nyatanya Kota Keriangan itu masih sejuk yang memerlukan kita mengenakan jaket atau ‘warm cloth’.

Namun sesetengah artis yang menayang dada putih mereka di atas landasan fesyen ‘off-shoulder’ sanggup menahan sejuk demi sebuah kecantikan ketrampilan.

Sehingga kini, tiada pula yang mahu mengangkat martabat wanita Melayu daripada tidak berkemban.

Salah memang jelas, kemban di khalayak umum sehingga mendedahkan sebahagian dada wanita tetapi Aditya tidak mahu berceramah soal agama kerana tentang aurat, ustaz sudah mengajar kita sejak sekolah rendah lagi.

Kejutan dan kehairanan sebaliknya singgah di kepala Aditya kerana mereka tidak kecoh pun soal berkemban sebab itu fesyen. Kalau mereka komen, nanti dikatakan tidak ‘up to date’ pula.

Tidak perlulah kita mendongak ke puncak Genting itu, cuba perhatikan majlis atau acara yang dihadiri artis atau selebriti di dataran rata Kuala Lumpur, soal buka dada bukan pelik malah janggal kalau tidak berbuat demikian.

Kalau tidak berkemban seratus peratus, mereka yang mengenakan ‘sphagetti strap’ tampak lebih kurang begitu.

Jadi perlukah kita persoalkan kemban kerana orang kita sendiri sudah lama berkemban. Aurat? Mereka sudah disekolahkan tentang hal itu!

zanas

No comments:

Post a Comment